CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Friday, October 21, 2011

Mari Bercinta

Assalamualaikum

Tatkala desir angin dingin menyapa, membisikkan kalimah zikrullah dengan caranya yang tersendiri dan setiap kali itu juga kita tersentak dengan hakikat bahawa setiap makhluk bertasbih, bertahmid, memuji kebesaranNya, menzahirkan kecintaan terhadapNya, meluhurkan hati mengingatiNya.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nur, ayat 41
"Tidakkah kamu melihat bagaimana segala yang di langit dan di bumi menyanjung Allah, dan burung burung mengembangkan sayap sayap mereka? Masing-masing. Dia mengetahui solatnya, dan sanjungannya, dan Allah mengetahui apa yang mereka buat"

Kesempurnaan ciptaanNya, menggugat jiwa, intelek, dan spiritual setiap insan. Menjenuhkan ligat minda berfikir, cuba merungkai misteri kehebatan, keindahan, ciptaan Allah. Firman Allah SWT dalam surah Al-Mulk, ayat 1-4

"Mahasuci Allah yang menguasai (segala) kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun. Yang menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Tidak akan kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang pada ciptaan Tuhan Yang Maha Pengasih. Maka lihatlah sekali lagi, adakah kamu lihat sesuatu yang cacat? Kemudian ulangi pandangan(mu) sekali lagi (dan) sekali lagi, nescaya pandanganmu akan kembali kepadamu tanpa menemukan cacat dan ia (pandanganmu) dalam keadaan letih."

Tatkala itu juga mata memerhatikan sekeliling, antara jelas atau tidak ada denai sepi yang ditumbuhi lalang meninggi, juga ada laluan lainnya yang deras berpengunjung. Dan denai berlalang itu terbiar sepi, tiada usaha membersihkannya, memajukannya, menerangkannya dan terus menerus menjadi denai sepi yang murung.



Sedikit kata pengantar dari saya memulakan bicara di laman al-Mahabbah ini. Subhanallah, mahabbah yakni cinta dan kasih sayang, cukup menusuk hati setiap bibir yang melafazkannya. Kasih sayang dan cinta dalam tautan ukhuwahfillah ini semoga menjadi asas kepada bertautnya hati hati mereka yang berkunjung. 
Cinta antara suatu perkataan, yang lahirnya dari hati yang ikhlas tulus mengingati Allah
Cinta yang apabila bertemu saudara-saudara seislam, zahir kecintaan antara mereka hanya untuk mendekatkan diri kepada Yang Maha Pengasih
Cinta apabila melihat sesuatu yang indah apatah lagi yang indah itu terhijab 
Cinta itu fitrah anugerah dariNya kepada hamba-hambaNya
Sungguhpun cinta itu begitu luas untuk dituturkan bahkan untuk dihuraikan 
Dan pastinya cinta kepada Pemilik Cinta itu lebih didambakan para hamba.


“Sesungguhnya diantara hamba-hamba Allah itu ada beberapa orang yang bukan nabi dan syuhada menginginkan keadaan seperti mereka, karena kedudukannya disisi Allah. Sahabat bertanya :
“Ya Rasulullah, tolong kami beritahu siapa mereka ? Rasulullah SAW. Menjawab : Mereka adalah satu kaum yang cinta mencintai dengan ruh Allah tanpa ada hubungan sanak saudara, kerabat diantara mereka serta tidak ada hubungan harta benda yang ada pada mereka. Maka, demi Allah wajah-wajah mereka sungguh bercahaya, sedang mereka tidak takut apa-apa dikala orang lain takut, dan mereka tidak berduka cita dikala orang lain berduka cita” (H.R. Abu Daud)

“Allah swt berfirman, “pasti akan mendapat cinta-Ku orang-orang yang cinta mencintai karena Aku, saling kunjung mengunjungi karena Aku dan saling memberi karena Aku” (Hadits Qudsi)

Mari bercinta? kerana Allah. Bercintalah dengan ilmu ilmu Allah, bercintalah dengan peribadi Rasulullah, bercintalah dengan sahabat yang berhimpun kerana Allah, yang mekar hatinya kerana Allah, bercintalah dengan keindahan alam ciptaan Allah, bercintalah dengan nikmat nikmat limpahan kurniaan tanda kecintaan Allah terhadap hambaNya. Bercinta dan teruslah bercinta dengan niat mendekatkan diri kepada Allah. Kerana cinta Allah itu luas, seluas hamparan alam, bahkan lebih dari itu. Kerana yang paling dekat dengan kita itu adalah Allah, bukan ibu, ayah, kawan kawan, ataupun diri kita sendiri. 

Seperti dalam firmanNya, surah Qaf, ayat 16 yang bermaksud,
"Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,"

Kejarlah syurga Allah kerana kecintaan terhadap Allah. Kejarlah syurga Allah untuk mengharap redhaNya. Kejarlah syurga Allah untuk mendekatkan diri kepadaNya. Bekerjalah di jalan Allah, untuk redhaNya kerana dengan redha itulah kita memohon untuk ke syurgaNya. Kerana dengan redha itulah hati-hati kita akan tenang, basah dengan kecintaan kepada Allah. Mari fikirkan satu analogi,
Dalam kehidupan sebagai pelajar, pasti peperiksaan merupakan teman akrab. Cuba kita renungkan, jika kita belajar kerana mahu mendapat gred yang bagus dalam peperiksaan, pasti kita akan merasa letih, kecewa, sakit hati jika hajat atau kemahuan itu tidak tercapai. Dan tukarlah tujuan itu, belajar untuk mengaut sedikit atau setitis dari berlautan ilmu Allah, untuk memahami, untuk mendekatkan diri kepada Allah, nescaya hilang rasa letih, hilang rasa kecewa, hilang rasa sakit hati. 
Begitu juga dengan amal, sekiranya yang meniti di bibir, di hati, cuma ganjaran dan pahala tanpa pengharapan memohon redha Allah, pasti kita akan merasa letih. Marilah bekerja untuk mengharapkan redha Allah. Ganjaran dan pahala itu urusan Allah, yakinlah, Dia Maha Kaya, memberikan kita ganjaran tidak akan pernah merugikanNya. Dia Maha Hebat, Maha Berkuasa. 

Marilah kita bercinta, merapatkan hati hati yang berhimpun di laman ini kerana mahabbahnya bertujuan satu, iaitu kerana Allah. Mari kita renungkan kata kata Saidina Ali (RA) ini:

"Hate no more, no matter how much they've wronged you. Live humbly, no matter how hard life is. Give much, even if you've been given little. Keep in touch with the ones who have forgotten you, and forgive who has wronged you and do not stop praying for the best, for those you love."

Marilah suburkan denai sepi, kelam dan murung itu dengan riuh manusia bermunajat kepadaNya, akur kepadaNya, basah hatinya kerana kecintaan kepada Allah. Mari terangkan denai sepi, kelam dan murung itu dengan gundahan rasa mahu mengenaliNya, mahu berada dekat denganNya, dan mahu menjadi hamba yang sebenar-benar hamba yang mendambakan cintaNya lebih daripada cinta makhluk. 
-wallahua'lam



No comments:

Post a Comment